Rabiatul Adawiyah dan Cinta
Rabiatul adalah seorang wanita yang paling warak dan zuhud, wanita yang mendapat taraf wali Allah. Tidak berlebihan bahawa Rabiatul adalah wanita yang paling cinta dan taat pada Allah Rasulnya yang
pernah hidup selepas contoh teladan dan ikutan Ummatul Mukminin. Selama lebih kurang 80 tahun kehidupan Rabiah senantiasa penuh dengan zikir kepada Allah, anggota tubuhnya kurus kering kerana, malamnya
penuh dengan tahajjud dan munajat, siangnya penuh dengan puasa dan majlis ilmu dan hikmat. Makanannya cukup dengan sepotong roti kering, sekadar pengganjal perut, kadangkala jika Rabiah terlalu miskin dengan
harta dunia, masih ada orang yang menyangka bahawa Rabiah menyimpan harta di rumah gubuk yang sudah reput itu.
Suatu malam yang sunyi senyap di kala kening dan dahi Rabiah sedang sujud di hadapan Allah,
sambil air mata bercucuran membasahi tikar sembahyangnya, terasa olehnya ada seseorang menceroboh masuk rumahnya. Kemudian Rabiah segera selesai dari solatnya, dan diperhatikannya gerak geri orang lelaki
dewasa itu. Namun setelah lelaki itu keliling berpusing-pusing dalam rumah kecil itu, tak nampak barang yang hendak diambilnya.
Kemudian pencuri itupun bergegas hendak keluar, dan ketika itulah Rabiah
itu berkata, "Jangan pergi sebelum mengambil sesuatu".
Lalu pemuda itu menjawab, "Apa yang harus saya ambil, satu bendapun tak ada di rumah ini!". Lalu Rabiah berkata, "Ada! Ambillah kendi yang
berisi air itu dan pergi ke bilik air untuk mengambil wudhuk, dan solatlah dua rakaat".
Mendengar itu, pemuda tadi terus pergi mengambil kendi yang berisi air lalu berwudhuk dan solat sunat di rumah itu,
kemudian Rabiah pun solat, dan dalam solatnya Rabiah berdoa agar pemuda itu mendapat hidayah dan petunjuk. Tidak terasa oleh pemuda itu hari pun sudah masuk subuh, dan beliaupun solat subuh, dan bermulalah
taubat dalam diri pemuda itu.
  
Syafiyah Binti
Abdul Mutalib
KEBERANIANNYA MENDAPAT SANJUNGAN
Nama ini memang sudah tidak asing lagi dikalangan wanita-wanita arab pada zaman bermulanya Islam.
Syafiyah memeluk Islam pada usianya masih muda. Diserahkan dirinya kepada Allah dan RasulNya
walaupun dia merupakan emak saudara kepada Rasulullah.
Beliau rela merendahkan tarafnya dan mengibaratkan dirinya sebagai sehelai
kain putih:
terpulanglah kepada anak saudaranya untuk mencorakkannya. Syafiyah sentiasa memperbaiki dirinya
hubungan dirinya dengan Allah dijaga bersungguh-sungguh.
Kebahagiaan hati tentu sekali lebih bernilai daripada kesenangan wang ringgit.
Dengan kebahagiaan itu Syafiyah mendapat syurga yang kekal abadi. Perjuangannya dalam
menaikkan imej Islam memang tidak dapat disanggah. Terutama dalam peristiwa ketika Syafiyah berjaya
membunuh seorang Yahudi yang mengintip benteng pertahanan Islam.
Kisahnya bermula sewaktu peperangan Khandaq sedang meletus dengan hebatnya.
Ketika itu semua sahabat berada di medan perang, manakala wanita, kanak-kanak dan orang tua berada
dibenteng pertahanan dibawah pengawasan Hassan bin Tsabit.
Pada ketika itu suku Yahudi bani Quraizah telah memungkiri janji mereka dengan Nabi.
Lantaran itu apabila Syafiyah melihat si Yahudi lantas ia berkata kepada Hassan
"wahai Hassan! Si Yahudi itu mengelilingi kita. Sedang kaum muslimin tidak ada di sini
baiklah jika engkau turun ke bawah benteng dan membunuh si Yahudi itu!"
Tetapi si Hassan menjawab:
"Moga-moga Allah mengampuni engkau, wahai puteri Abdul Mutalib! Demi Allah
engkau sudah tahu bukanlah aku orangnya yang hendak kau suruh turun ke bawah sana"
Mendengar jawapan Hassan itu, tanpa membuang masa Syafiyah terus mncapai sebatang kayu dan
turun kebawah benteng. Pintu direnggangkan perlahan-lahan lantas dia terus memukul musuh Allah itu.
Dengan beberapa pukulan, si Yahudi itu tumbang dan menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Kepala Yahudi itu dipotong dan dilemparkan ke tempat kawan-kawannya menunggu.
Melihat keadaaan itu, lelaki Yahudi yang lain terus melarikan diri meninggalkan rumah
yang hanya dihuni oleh kaum wanita dan kanak-kanak itu.
Keberanian Syafiyah serta kebijaksanaannya bertindak dalam suasana cemas
itu telah menyelamatkan semua yang ada dalam benteng pertahanan tersebut.
Sewaktu pertempuran di medan Uhud, sekali lagi Syafiyah bertindak menyelamatkan keadaan
dengan menggunakan keberanian dan kebijaksanaan yang dikurnikaan Allah padanya.
Sedang kaum muslimah berada di barisan belakang menyediakan air dan membantu mereka yang cedera,
kelihatan beberapa orang lelaki cuba mengundurkan diri kerana pada ketika itu umat Islam kalah teruk.
Syafiyah segera mengacu-acukan lembingnya ke arah orang-orang itu sambil berkata:
"Kamu lari meninggalkan Rasulullah, lembing ini lebih dahulu akan menghentam kamu"
Melihatkan keadaan itu, lelaki-lelaki tersebut terpaksa kembali ke medan pertempuran.
Sewaktu peperangan hampir tamat, Rasulullah berjalan-jalan mencari mayat kaum Muslimin yang gugur syahid.
Sewaktu melihat mayat saidina Hamzah yang dicincang dan dipotong tidak
berupa manusia lagi oleh Hindun untuk membalas dendam, beliau menangis.
Sedang baginda berdiri di situ, baginda nampak emak saudaranya Syafiyah menghala ke situ.
Rasulullah segera meminta Zubair supaya menahan ibu saudaranya daripada mara.
Zubair segera memberitahu Syafiyah supaya kembali. Namun Syafiyah sudah mengetahui
tentang saudaranya Saidina Hamzah yang gugur syahid.'
Menyedari keadaan itu, Rasulullah membiarkan Syafiyah meneruskan hajatnya.
Para sahabat membuka ruang berjalan untuk Syafiyah melihat saudaranya itu.
Dia pun datang dengan berlari untuk melihat mayat Hamzah lantas beristighfar
dan berdoa untuk abangnya,
kemudian Syafiyah berkata kepada anaknya Zubair:
"katakanlah kepada Rasulullah! kami tidak senang dengan apa yang berlaku pada sabilillah ini,
akan tetapi mudah-mudahan kami akan dapat menahan diri dan sabar atasnya."
Berani dan yakin serta tawakkal dan harap pada Allah adalah sikapnya.
Syafiyah segera mengutamakan kehendak dan hukum Allah hingga sekiranya dia terpaksa mati untuk
tugasnya dia rela. Dia sanggup mati mempertahankan prinsip Islam.
  
Aruneb binti Ishaq
HATINYA SEINDAH WAJAH
Dia memiliki wajah yang jelita. Kejelitaannya menyebabkan ramai pemuda
tergila-gilakannya. Tapi dia tabah menghadapi ujian itu.Dia takut nanti kemurkaan Allah padanya.
meskipun dia selalu bertanyakan pada dirinya "Adakah aku seorang wanita yang cantik?
Aku takut..aku takut...sudah ramai wanita cantik mendapat kemurkaan Allah".
Kata-kata tersebut selalu diulang dan kebimbangan itu akhirnya hilang
apabila ayahnya menjodohkannya dengan seorang pemuda yang warak. Kebahagiaan rumahtangga
semakin terserlah dan nur sakinah war rahmah menyinari dua insan yang diberkat, iaitu
suami yang soleh dan isteri yang solehah.
Tetapi keharmonian itu tidak berpanjangan rupa-rupanya, Allah sengaja hendak mengujinya. Pada suatu
hari sedang isteri duduk berehat dalam rumah, tiba-tiba angin bertiup kencang, tirai pintu terselak
dan kebetulan lalu seorang putera raja di hadapan
rumah mereka. Maka ternampak putera tersebut akan isteri tadi. walaupun sekali imbas tapi wajah perempuan
yang jelita itu benar-benar telah memikat hatinya.
Putera raja mula mabuk kepayang. Segala-galanya serba tidak kena, mandi tak basah, makan tak lalu,
tidur tak lena, nafsu berkocak menahan api asmara. Di adukan masalah itu pada ayahnya yang menjadi
khalifah negara dan ayahnya berjanji akan menyelesaikan
masalahnya itu.
Srikandi ini bernama Aruneb binti Ishaq dan suaminya Abdullah bin Salam. Mereka suami isteri mendapat
perutusan diraja dan mereka berbincang suami isteri. Maka pergilah Abdullah ke istana yang jaraknya
beratus batu. Tiba disana beliau telah disambut dengan
baik. Beliau diberitahu sebenarnya khalifah berhajat memberi jawatan kepada Abdullah tapi dengan syarat
beliau mesti berkahwin dengan puterinya. Berita itu diterima dengan gembira. Tidak lama kemudian rombongan
peminangan pun dihantar.
Puteri raja yang telah berpakat dengan abangnya itupun pura-pura berkata "Abdullah bin Salam adalah
calon suami yang sangat baik, terpuji akhlaknya dan seorang sahabat Rasulullah yang terdekat.
Tetapi alangkah sayangnya kerana Aruneb bt Ishaq masih menjadi isterinya. Sebagai seorang perempuan
biasa saya bimbang akan dihinggapi penyakit cemburu bila berpoligami nanti dan bimbang kemurkaan Allah
padaku. Oleh itu saya tidak akan menerima pinangan Abdullah selagi dia tidak menceraikan Aruneb.
Akhirnya Abdullah pun menceraikan Aruneb dan Abdullah pun meminang puteri tersebut. Seminggu kemudian
keputusan peminangan pun tiba dan puteri raja berkata "Saya tidak menyangka Abdullah terlalu terburu-buru
menceraikan isterinya tanpa berfikir panjang.
Mungkin saya juga akan dibuat begitu bila Abdullah bertemu dengan gadis yang lebih cantik dan bijak
daripada saya. Katakan padanya saya menolak pinangan tersebut."
TERTIPU
Kini fahamlah Abdullah bahawa beliau telah tertipu. Abdullah merasa sedih dan serba salah.
Walau begitu dia tetap berserah kepada Allah. Mengenai kisah Aruneb pula,
setelah diceraikan oleh suaminya yang sangat dikasihinya itu, dia tidak menyalahkan sesiapa.
Aruneb sedar dia perlu menguatkan iman di dada.
Aruneb meyakinkan dirinya bahawa suaminya bukanlah matlamat hidupnya tetapi adalah
untuk menjaga dirinya dari fitnah dan kerana Allah.
Dalam masa iddahnya dia telah menjaga maruahnya dengan rapi. Dia semakin merindui
syurga. Di malam hari dia berjaga untuk berzikir dan bertafakur dan beribadat sunat.
Setiap kali dia membaca ayat-ayat amaran dalam Al-Quran dia menangis sebak sehingga terjatuh
pengsan.
TETAMU
Kecantikan yang Allah kurniakan padanya tidak sedikit pun menimbulkan rasa riak, sombong dan ujub.
Sebaliknya kecantikan itulah yang menimbulkan fitnah dan menjadi
sebab Aruneb berpisah dengan dirinya.
Aruneb lebih berhati-hati dan sentiasa melindungi dirinya dan kecantikan rupa parasnya dari mata-mata keranjang.
Pada suatu hari, Aruneb menerima kedatangan dua orang tetamu besar iaitu Abu Darda dan Abu Hurairah r.a. dari khalifah Muawiyyah
dan juga peminangan untuk Yazid bin Muawiyyah yang bakal menjadi khalifah dan pinangan dari saidina
Hussin. Abu Darda menyuruh Aruneb, anak saudaranya itu untuk memilih antara dua orang tersebut.
Tetapi Aruneb lebih suka jika Abu Darda yang memilih untuknya.
Akhirnya Abu Darda berkata "wahai anak saudaraku, putera dari puteri Rasulullah
(Saiyidatina Fatimah) lebih ku sukai dan lebih ku setujui kerana aku pernah menyaksikan Rasulullah menaruh kedua bibir
baginda pada kedua bibir Husin sewaktu kecilnya, maka taruhlah pula kedua bibirmu di tempat Rasulullah menaruh kedua bibir baginda."
Mendengar kata-kata itu Aruneb terus bersetuju, itulah satu jalan untuk menyelamatkan dirinya.
Berkahwinlah ia dengan saidina Hussin bin Ali dengan mas kahwin yang
besar.
Abdullah bin Salam mendengar berita perkahwinan Aruneb dengan gembira
kerana dia mendapat seorang suami yang berkedudukan mulia. Namun begitu Abdullah hidup dalam keadaan yang berkelana dan
kesempitan. Dalam pada itu Abdullah teringat yang dia ada
menyuruh Aruneb menyimpan sebiji permata yang sangat berguna di saat kesempitan.
Lalu dia mendatangi Aruneb untuk meminta semula permata itu dari bekas isterinya. Abdullah meminta izin saidina Hussin dan
beliau mengizinkannya. Apabila Aruneb mengetahui kedatangan Abdullah, Aruneb telah menangis teresak-esak kerana terlalu
simpati dengan nasib Abdullah. Saidina Hussin pun berkata "Aku bersaksi kepada Allah bahawa
aku menceraikan Aruneb tiga kali, aku mengahwininya bukanlah untuk menikmati kecantikannya tetapi hanya untuk menyelamatkannya
dan menyerahkan dia kembali kepada suaminya." Maka pulanglah Aruneb kepada Abdullah bin Salam.
Kembalilah kebahagiaan dalam rumah tangga mereka setelah dilambung ombak ujian yang
hebat.
  
Ummi Zar
PENGORBANAN DI BUMI RABAZAH
Siapa yang tidak gembira apabila dilantik menjadi ketua kaumnya. Terbayanglah dimata Ummi Zar akan kemewahan yang akan
dikecapinya. Tentunya masyarakat akan memandang tinggi dan menghormati diri dan suaminya.
Segala puji-pujian dipersembahkan kepada Nuhum yang tidak tahu berkata-kata,
membisu dan tegak membatu seolah-olah menunggu hadiah dan korban daripada
penyembahannya. Dahulu Nuhum memang tidak ada tetapi setelah Abu Zar menjadi ketua sukunya maka masyarakat Arab
menetapkan bahawa mereka mesti mmpunyai berhala yang dinamakan Nuhum.
Di Mekah ketika itu sedang hangat diperkatakan tentang penampilan pengabdian
berhala-berhala. Rasulullah yang diutuskan untuk membawa dan menyebarkan risalah Allah sedikit demi sedikit
telah menawan hati-hati masyarakat Arab Jahiliyyah. Sedikit pun tidak disangka oleh Abu Zar bahawa
dia akan menjadi penganutnya sehinggalah satu
kejadian hina menimpa Nuhum.
"Wahai Ummi Zar, pernahkan dikau melihat sesuatu yang memalukan?"
"Khabarkanlah wahai suamiku."
"Tadi aku membawa secangkir susu dan datang
menghadap Nuhum. Aku menyirammnya dan lalu meninggalkannya sebentar.
Bila aku kembali aku melihat seekor anjing kurap disampingnya menjilat-jilat susu itu.
Aku terus mengintai ia dari jauh. setelah selesai menjilat, ia mengangkat kaki
lalu mengencingkannya."
Ummi Zar tersenyum. "Wahai suamiku, carilah bagi kita tuhan yang mulia
yang murah hati dengan kelebihannya wahai putera Wahab! Adapun tuhan yang boleh diapa-apakan oleh
anjing yang hina dia tidak mempunyai kuasa untuk mempertahankan dirinya
dengan batu, sebenarnya sesat. Otaknya kecil dan nipis dan tidak mempunyai isi"
Begitulah bijaknya Ummi Zar membuat penilaian. Kata-kata tersebut diakui oleh
Rasulullah setelah Abu Zar menceritakan kisah tersebut kepada baginda.
"Benarlah kata-kata Ummu Zar itu, setiap hamba batu mestilah sesat.
Kata-kata Ummu Zar yang logik itu telah mendorong suaminya mencari pergantungan yang
selayaknya. Setelah kejadian itu, Ummi Zar dan Abu Zar mula merisik-risik untuk
mendekati Rasulullah. Hati mereka melonjak-lonjak untuk mengetahui agama Islam.
Segala kemewahan dan pangkat dahulu ditinggalkan demi mengharapkan keredaan Allah.
Ummi Zar rela menempuh kesusahan, sentiasa membantu dan menyokong kebenaran yang ditegakkan
oleh suaminya. Beliau kerap mengikuti Abu Zar dalam pelayaran.
Beliau juga seorang yang fasih dan lancar berkata-kata. Ketika mengadakan perbincangan
dengan suaminya, jarang sekali buah fikirannya ditolak. Kesungguhannya dalam mencari ilmu dan makrifat menjadikan
wanita ini berani menegur kemungkaran dan menegur yang salah tanpa menghiraukan risiko yang bakal dihadapi.
Pernah suatu ketika Rasullullah bertanya kepadanya:
" Wahai Abu Zar, bagaimana pendapatmu apabila menjumpai para pembesar yang mengambil barang ufti
untuk diri mereka sendiri?"
"Demi Allah saya akan tebas kepala mereka dengan pedang ini."
"Bagaimanakah kalau kau tunjukkan kepada mereka jalan yang baik dari itu?"
"Apakah dia wahai Rasullullah?"
""Iaitu bersabar sehingga engkau menemuiku."
Di dalam pandangan Rasullulah baginda dapat melihat segala keseusahan yang
bakal dialami oleh Abu Zar akibat dari kebenaran dan ketegasannya itu.
Demikian yang telah terjadi pada Abu Zar. Beliau mula menunjukkan penentangannya melalui
ucapan-ucapan yang tegas dan berani terhadap cara sayidina Muawiyah menguruskan
harta. Tindakan Abu Zar itu sedikit banyak telah mengeruhkan suasana
masyarakat Islam di Damsyik tempat sayidina Muawiyyah menjadi gabenornya.
Lantas sayidina Muawiyyah menulis surat kepada Khalifah Usman agar menyelesaikan kekecohan yang berlaku.
Sebagai seorang pemimpin Islam yang adil khalifah Usman sedar akan kebenarannya tetapi beliau sedar akan sikap
Abu Zar yang kasar dan sukar bertolak ansur itu diyakini akan menimbulakn kekeliruan kepada
masyarakat. Melihat keadaan itu, akhirnya khalifah Usman telah memerintahkan Abu Zar agar berpindah ke Rabazah.
KESETIAAN
Dengan penuh kesetiaan maka berangkatlah Ummi Zar mengikut suaminya ke bumi
Rabazah. Kampungnya terpencil di padang pasir, tiada tumbuh-tumbuhan yang hidup untuk
dijadikan sumber makanan. Perhubungan dengan manusia amat sukar. Andainya mereka mati sudah tentu tiada siapa yang tahu.
Namun Ummi Zar yang cekal hati tidak sekali-kali hendak menyalahkan takdir.
Jauh sekali hendak mengeluh di atas arahan sayidina Usman itu. Biarlah segala keperitan ditanggung dangan penuh kesabaran.
Ummi Zar semakin hari semakin kurus, dengan kulitnya yang pucat
mengelupas. Abu Zar pula jatuh sakit. Mukanya pucat lesi dan badannya menampakkan tulang
yang kepupusan daging. Wajah yang tua itu pasti menunggu masa untuk dicengkam maut.
Terbuktilah kini kesetiaan Ummi Zar terhadap suaminya. Beliau sentiasa memberi khidmat dan
menghiburkan suaminya walaupun dirinya berduka.
Hari demi hari berlalu, tidak ada tanda yang Abu Zar akan hidup lebih
lama lagi. Disaat itu mengalirlah air mata Ummi Zar melihat keadaaan suaminya itu.
"Apa yang engkau tangiskan wahai Ummi Zar? Padahal maut itu pasti datang."
"Engkau akan meninggal, sedangkan kita tidak ada sehelai kain pun untuk
mengkafankanmu.."
"Janganlah menangis! Pada suatu hari ketika saya berada di sisi Rasullullah
maka baginda bersabda 'pastilah ada diantara kamu yang akan meninggal di padang pasir. Yang akan disaksikan
oleh rombongan yang beriman. Ternyata yang hadir dalam majlis Rasullullah itu telah meninggal di kampung dan
di hadapan jemaah kaum muslimin kecuali aku. Kini aku menghadapi maut dipadang pasir ini dan
perhatikanlah olehmu jalan...mana tahu kalau-kalau rombongan itu akan datang.
Demi Allah saya tidak berbohong dan tidak pula dibohongi"
Selesai saja wasiat itu, berangkatlah suaminya bertemu Allah. Walaupun dirinya
keseorangan namun Ummi Zar sedikit pun tidak berteriak atau meratap nasib malah
menyerah untung nasibnya kepada Allah. Tidak berapa lama kemudian ternampaklah
olehnya satu rombongan kafilah yang dipimpin oleh Abdullah Bin Mas'ud. Segeralah Ummi Zar meminta mereka
menguruskan mayat suaminya. Di hadapan tubuh yang kaku itu kedengaran kata-kata pujian
Ibnu Mas'ud.
"Benarlah ucapan Rasulullah... anda berjalan sebatang kara dan mati sebatang kara dan
dibangkitkan nanti sebatang kara.."
Begitulah besarnya pengorbanan Ummi Zar terhadap suaminya Abu zar di bumi
Rabazah.
 
|